Tuesday, 29 January 2013

Universiti Sebelum Merdeka

Pengalaman di SSSS 1953-1958

Salam untuk semua.
Saya ingin menyampaikan sedikit kisah pengalaman lampau saya di SSSS. Nama saya Besar Saaid bin Talib, sama batch dengan Haris Hamidon (bekas headmaster SSSS).
Dalam tahun 1953 aku telah berjaya memasuki Sekolah Inggeris di Kuala Terengganu, iaitu Sultan Sulaiman English School (SSES), satu-satunya sekolah Inggeris Kerajaan di Negeri Terengganu (asalnya: Trengganu) ketika itu. SSES terletaknya di hujung Jalan Cherong Lanjut arah ke Kampung Pengadang Akar di sebelah Selatan, dibatasi Jalan Batas Baharu (sekarang Jalan Engku Sar) di sebelah utara. Manakala bahagian hadapan dan jalan masuk utama ke perkarangan sekolah (sebelah timur) ialah Jalan Gong Wan Abas (sekarang Jalan Sultan Omar). Kini kawasan tersebut ditempatkan Sekolah Rendah Sultan Sulaiman 1 dan Sekolah Rendah Sultan Sulaiman 2.

Sebuah lagi sekolah Inggeris ialah The Grammar English School (or was it The English Grammar School?), Kuala Terengganu, di Jalan Ayer Jerneh (atau Jalan Cherong Lanjut?), sebelah jalan ke kompleks pejabat SUK lama atas bukit. Sekolah tersebut adalah satu-satunya sekolah Inggeris swasta pertama di Trengganu ketika itu, dan dimiliki oleh Mr P.C.Isaacs (kemudiannya Dato’ P.C.Isaacs), seorang hartawan/dermawan bekas guru keturunan India, yang kemudiannya diwarisi oleh anaknya.

Urusan kemasukanku ke SSES pada mulanya menghadapi beberapa halangan.  Pertama aku tidak mendapat biasiswa Persekutuan (RM45 sebulan), tetapi hanya diberi biasiswa Negeri sebanyak RM20.00 sebulan. Keduanya aku tidak mendapat tempat di asrama sekolah; lalu terpaksa menumpang di rumah Cikgu Ali ‘nazir’ (kemudiannya Haji Ali dan Dato’ Perwira Negara) di belakang bangunan SSES.

Secara rasminya SSES telah ditubuhkan pada tahun 1925; tetapi kelas pertamanya telah dibuka sejak tahun 1920 lagi dengan “English” sebagai bahasa pengantar. Nama awalnya ialah Government English School.  Pada tahun 1938 barulah namanya ditukar kepada Sultan Sulaiman English School.  Ketika aku mulai bersekolah di SSES, aku dapati keseluruhan bangunannya adalah bangunan sementara yang dibina daripada struktur kayu, bumbung atap nipah dan dinding kajang (daripada daun mengkuang); dan digelar “sekolah atap” ketika itu. Keadaan demikian adalah disebabkan bangunan sekolah asal telah terbakar dua tahun sebelum itu (12 Julai 1951).  Sekolah atap ini kekal digunakan sehingga sekitar tahun 1957 apabila bangunan baru 3 tingkat mula dibina secara berperingkat untuk menggantikan bangunan sementara tersebut.

Kemasukan murid ke SSES melalui dua cara.  Cara pertama ialah menerima murid-murid masuk ke Standard 1 ketika umur masuk 7 tahun, dan cara kedua ialah menerima kemasukan murid-murid ke Special Malay Class (SMC).  SMC itu sebenarnya kelas peralihan murid-murid yang sudah tamat Darjah 3 atau Darjah 4 di sekolah-sekolah Melayu seluruh negeri Terengganu. Murid-murid dari sekolah-sekolah Melayu itu perlu melalu satu ujian objektif dalam mata-mata pelajaran Ilmu Hisab, ujian Pengetahuan Am dan ujian IQ (kecerdasan).  Jika melepasi ujian tersebut mereka akan diterima masuk ke SMC1 di SSES.  Setelah belajar di SMC1 dan SMC2 (selama 2 tahun) murid-murid tersebut akan dinaikan ke Standard 6, bercampur dengan murid-murid lain yang naik ke Standar 6 melalui cara kemasukan yang pertama (dari Standard 1).  Kelas-kelas SMC ini dikhususkan untuk murid-murid Melayu sahaja, manakala kemasukan ke Standard 1 terbuka kepada semua kaum.

Guru-guru yang yang mengajar kelasku di sekolah atap tersebut (dari SMC 1 hingga Std 6) ialah Mr. Abu Bakar (Mr. Baker), Mr. Yang Rashidi, Mr. Lau Kong Beng dan Mr. Rahman (Mr. Ramon ‘Boat’, kemudiannya Dato’ Abdul Rahman Taib, TCS).
Sistem pendidikan di SSES berpandukan kepada acuan system pendidikan dari peringkat rendah (primary level) bermula dari murid Standard 1 berumur 7 tahun hingga ke Standard 9.  Murid-murid dinaikkan ke peringkat (tahap) berikutnya melalui peperiksaan tahunan di akhir setiap tahun.  Hanya murid-murid yang mencapai tahap markah lulus dinaikkan ke tahap berikutnya; yang tidak lulus akan dikekalkan di darjah yang sama untuk setahun lagi.  Manakala yang lulus cemerlang mungkin dinaikkan ke tahap yang lebih tinggi melangkau satu darjah, biasa dari Standard 3 melangkau ke Standard 5 atau dari Standard 4 melangkau ke Standard 6. Mana-mana murid yang gagal 2 tahun berturut-turut mungkin akan ditamatkan pengajiannya setakat Standard di mana dia gagal.  Jika ibubapa ada wang mungkin akan dimasukkan ke sekolah swasta (GES) untuk meneruskan pengajiannya.

Peperiksaan akhir tahun di tahap Standard 7 akan dianjurkan oleh pihak Jabatan Pelajaran bagi pihak Cambridge Examination Syndicate, England yang menyediakan soalan-soalan peperiksaan dalam semua subjek bagi mendapat sijil peperiksaan yang dipanggil Junior School Certificate (JSC). Jika lulus, akan diberi peluang meneruskan pelajaran hingga ke Standard 9. Peperiksaan akhir tahun ketika dalam Standard 9 ialah peperiksaan Overseas Cambridge School Certificate (OCSC) yang, jika di England, sama tarafnya dengan ‘O’ Level.  Sijil-sijil ini mendapat pengiktirafan di England dan di semua negara Komanwel dan negara-negara jajahan British ketika itu.

Subjek-subjek asas bagi JSC dan OCSC ketika itu ialah English (termasuk Oral English), Mathematics, Science, Geography, History, Literature, Drawing and Bahasa Melayu.
Dengan JSC seseorang murid itu sudah berpeluang untuk masuk ke Maktab Perguruan atau memohon jawatan kerani dalam jabatan kerajaan; iaitu ketika berumur antara 15 hingga 16 tahun.

Dengan sijil OCSC Grade 1 atau 2 sudah memadai untuk seseorang itu berpeluang memasuki matrikulasi untuk kursus-kursus professional di universiti-universiti di Great Britain (England, Scotland, Ireland dan Wales) dan di negara-negara seperti Canada, Australia dan New Zealand.  Sijil OCSC itu juga digunakan untuk kelayakan masuk ke Universiti Malaya (di Singapura ketika itu).
FORM 1B SSSS 1956 (B)Ujian besar pertama di SSES ialah peperiksaan akhir tahun Std 6 (Standard Six) yang dianjurkan serentak di seluruh Tanah Melayu oleh Jawatankuasa Peperiksaan, Jabatan Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu ketika itu.  Kalau lulus peperiksaan ini akan dinaikkan ke Form 1 (Form One) sekolah menengah yang mula diperkenalkan mulai 1956. Murid-murid yang gagal akan diberhentikan sekolah, walaupun pada usia antara 13 dan 14 tahun. Hanya beberapa tahun kemudian pihak Kerajaan mengadakan Sekolah Menengah Lanjutan untuk menampung murid-murid yang gagal naik ke Form 1 (Tingkatan 1) sekolah biasa Kerajaan.  Sekolah Menengah Lanjutan inilah kemudiannya diubahasuai menjadi Sekolah Menengah Vokasional. Pada awalnya Sekolah Menengah Lanjutan ini hanya setakat Tingkatan 3 sahaja, dan apabila tamat Tingkatan 3 murid-murid terpaksa menamatkan persekolahan mereka setakat itu. Sijil Tingkatan 3 Sekolah Menengah Lanjutan ini tiada nilai pengiktirafan yang jelas oleh pihak Kerajaan.

Mulai tahun 1956 juga SSES di pecahkan kepada Sultan Sulaiman Primary School (SSPS) dan Sultan Sulaiman Secondary School (SSSS).  Bangunan SSSS yang baru siap dibina di Kuala Ibai, Kuala Terengganu telah mula digunakan pada tahun 1956 dan ‘batch’ aku adalah ‘batch’ Form 1 pertama yang berpindahkan ke bangunan baru tersebut.  Beberapa orang murid yang telah lulus cemerlang dalam peperiksaan Standar 6 tahun 1955 SSES telah berjaya masuka ke sekolah-sekolah menengah berasrama penuh, iaitu The Malay College Kuala Kangsar (MCKK) dan The Malay Girls College (MGC), yang kemudiannya dinamakan Sekolah Tun Fatimah) di Melaka.  Setakat yang aku ingat, mereka ialah Fauziah Ismail dan Kamariah Othman (ke MGC) manakala Megat Burhanuddin (?) dan Wan Mahmud Othman (?) (ke MCKK).
FORM 3A SSSS 1958 (B)SSSS terletaknya di Kuala Ibai, lebih kurang empat batu dari Kuala Trengganu.  Aku berulang alik ke sekolah dengan sebuah basikal tuayang dipinjamkan oleh keluarga angkatku di Cherong Lanjut.  Aku belajar di SSSS selama 5 tahun, iaitu dari tahun 1956 hingga tahun 1960.  Aktiviti kokorikulum yang pernah aku sertai ialah Photography Club, Gymnastic Club, Red Cross Society dan mewakili Rumah Gajah dalam Rugby.
Peperiksaan akhir tahun 1958 adalah peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) yang menggantikan JSC, dan dihadapi setelah habis belajar dalam Form 3.  Sekali lagi murid-murid yang lulus sahaja dapat naik ke Form 4; yang gagal terpaksa berhenti sekolah dan yang cemerlang ke Form 4 di sekolah-sekolah berasrama penuh.  Pada ketika itu hanya ada beberapa sekolah berasrama penuh Kerajaan, iatu Sekolah Datuk Abdul Razak(SDAR) Seremban (ditubuhkan di Johor Bahru pada 1956), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh (ditubuhkan pada awal 1957), dan Sekolah Tengku Kursiah Seremban.  Selain itu murid lelaki juga diterima masuk ke “Boys Wing (Company)”, Royal Military College (RMC) Port Dickson (bermula tahun 1952), Negeri Sembilan (kini di Sungai Besi, Selangor).

Aku berjaya lulus untuk naik ke Form 4 di SSSS manakala beberapa kawanku berjaya ke beberapa sekolah berasrama penuh dan beberapa orang lagi terpaksa menamatkan persekolahan kerana gagal untuk memenuhi kriteria ke Form 4.  Walau bagaimanapun mereka yang gagal itu telah berpeluang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Perguruan sebagai guru pelatih dan mengikuti kursus perguruan harian di pusat latihan harian Day Training Centre (DTC) yang ditubuhkan di salah sebuah bangunan dalam kawasan Sultan Sulaiman Primary School di Jalan Batas Baharu, Kuala Trengganu.

Antara mereka yang menjadi guru DTC itu ialah Tengku Alias Taib (seorang penyajak/penyair yang agak terkenal dan berjaya dalam profesionnya).  Yang lain-lain aku dah tak ingat.
Yang berjaya ke Form 4 sekolah berasrama penuh pula ialah Abd Razak Embong (MCKK), Engku Mohd Anuar Wok (MCKK), Syed Hashim Tuan Long (RMC) dan beberapa orang lagi yang aku dah lupa.
Setakat ni dulu, wassalam.
Besar Saaid bin Talib, Kemaman
*********************************
Dikirim asalnya sebagai komen pada posting: Calling All SMKSS Alumni. Memandangkan ianya suatu naratif yang penuh bermakna maka wajar diletakkan sebagai satu posting tersendiri. Semoga ada bahagian selanjutnya selepas ini.
Diharap ada lagi Sulaimanian lain sudi menulis dan kirim terus kepada saya: akarimomar@yahoo.com

No comments:

Post a Comment